KEMBARA KOMUNITI PULAU TINGGI
Pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025, Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKAUSIM) dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal USIM (IFFAH), Pusat Wakaf & Zakat USIM (PWZ) serta Mamee Malaysia telah menganjurkan Program Kembara Komuniti ke Pulau Tinggi, Mersing, Johor. Program ini merupakan salah satu inisiatif khidmat masyarakat yang bertujuan mempererat hubungan antara warga akademik USIM dengan komuniti setempat di samping menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan peserta.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, antaranya sesi ramah mesra bersama anak-anak pulau yang dijalankan melalui pendekatan permainan berunsurkan Islamik, aktiviti pembersihan pantai bersama penduduk tempatan sebagai usaha menjaga kelestarian alam sekitar, serta agihan makanan kepada komuniti yang ditaja oleh pihak Mamee Malaysia.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat di Pulau Tinggi, malah turut menyuntik semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan peserta. PKAUSIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sumbangan bagi menjayakan program ini. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluas lagi pada masa akan datang demi manfaat bersama.





























